IBU adalah wanita yang
dimuliakan oleh Allah sebagaimana yang tercatat dalam kitab suci al-Quran.
Berdasarkan sebuah hadis, umat manusia percaya, syurga itu di bawah telapak
kaki ibu. Amat besar dosa derhaka terhadap ibu. Bahkan dikatakan darjat ibu
tiga kali ganda jika dibandingkan dengan ayah dalam hal penghormatan anak
kepada kedua orang tuanya.
Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w
dan berkata: “Wahai
Rasulullah, saya ingin berjihad (berjuang) menegakkan agama Allah.” Rasulullah bertanya: “Apakah ibumu masih hidup?”
Orang itu menjawab: “Ya”. Rasulullah s.a.w bersabda. “Tetaplah engkau
berada dekat di kaki ibumu itu, di sanalah syurga berada.” (Riwayat at-Thabrani)
Pengorbanan ibu tidak dapat diukur dan
dibandingkan. Ia adalah melebihi daripada segala pengorbanan. Ada satu
kisah dan ikhtibar yang boleh dipetik dari sebuah hadis yang bermaksud: “Diriwayatkan daripada Abu Hurairah
r.a katanya: Seorang yang bernama Juraij (seorang abid dari kalangan bani Israel) sedang mengerjakan ibadat
disebuah tempat beribadat. Lalu ibunya datang memanggilnya. Humaid berkata:
“Abu Rafi’ pernah menerangkan kepadaku mengenai bagaimana Abu Hurairah meniru
gaya seorang ibu Juraij ketika memanggil anaknya, sebagaimana beliau
mendapatkannya dari Rasulullah s.a.w iaitu meletakkan tangannya di bahagian
kepala antara dahi dan telinga serta mengangkat kepalanya: “Hai Juraij! Aku
ibumu, jawablah panggilanku.” Ketika itu perempuan tersebut mendapati anaknya
sedang mengerjakan solat. Dengan keraguan Juraij berkata kepada diri sendiri.
“Ya Tuhan, ibuku atau solatku.” Tetapi Juraij telah memilih untuk meneruskan
solatnya. Tidak berapa lama kemudian, perempuan tersebut pergi untuk kedua
kalinya. Dia memanggil: “Hai Juraij! Aku ibumu, jawablah panggilanku.” Juraij
bertanya lagi kepada diri sendiri: “Ya Tuhan, ibuku atau solatku.” Tetapi, dia
masih lagi memilih untuk meneruskan solatnya. Oleh kerana terlalu kecewa
akhirnya peermpuan itu berkata: “Ya Tuhan, sesungguhnya Juraij adalah anakku. Aku sudah memanggilnya berulang kali,
namun ternyata dia enggan menjawabku. Ya Tuhan, janganlah Engkau matikan dia
sebelum mendapat fitnah yang disebabkan oleh perempuan pelacur.”
Pada suatu hari, seorang pengembala kambing
sedang berteduh di tempat ibadat Juraij yang letaknya jauh terpencil dari orang
ramai. Tiba-tiba datang seorang perempuan dari sebuah dusun yang juga sedang
berteduh di tempat itu. Kemudian keduanya melakukan perbuatan zina sehingga
melahirkan seorang anak. Ketika ditanya oleh orang ramai: “Anak siapakah ini?”
Perempuan itu menjawab: “Anak dari penghuni tempat peribadatan ini.” Lalu orang
ramai berduyun-duyun datang kepada Juraij. Mereka membawa besi tajam seraya
berteriak memanggil Juraij yang sedang solat. Maka sudah tentu Juraij tidak
melayani panggilan mereka, akhirnya mereka merobohkan bangunan tempat ibadat
itu. Tatkala melihat keadaan itu, Juraij keluar menemui mereka. Mereka berkata
kepada Juraij, “Tanyalah anak ini!” Juraij tersenyum, kemudian mengusap kepala
anak tersebut dan bertanya “Siapakah bapamu?” Anak
itu tiba-tiba menjawab, “Bapaku adalah seorang pengembala kambing.” Setelah
mendengar jawapan jujur dari anak tersebut, mereka kelihatan menyesal, lalu
berkata: “Kami akan mendirikan tempat peribadatan yang kami robohkan ini dengan
emas dan perak,” Juraij berkata. “Tidak perlu, biarkan ia menjadi debu seperti
asalnya.” Kemudian Juraij meninggalkannya.” (Riwayat al-Bukhari)
Kisah singkat dalam hadis ini menunjukkan
betapa ampuhnya doa seorang ibu yang dekat dengan Allah. Allah lebih
mendahulukan kepentingan ibu daripada hak-Nya untuk disembah.
No comments:
Post a Comment