Powered by Blogger.

Receive all updates via Facebook about Facebook. Just Click the Like Button Below

Powered By IqwanLegion

-OPEN-

Tuesday, December 3, 2013

Ayat-ayat Al-Qur'an Ini Sebagai Kata-kata Pemberi Semangat Motivasi Buat Sahabat Karib

     Setiap hari aku memerhatikan ayat-ayat itu. Ayat-ayat tersebut memberiku semangat. Biarpun beratus-ratus buku motivasi aku baca, namun ayat-ayat itu lebih bersemangat dan mengajarku seribu erti. Aku bukanlah seorang hafiz, hanya sebagai pemerhati semata-mata. Namun begitu, inginku sampaikan dan berkongsi bersama anda semua sebagai ingatan kita bersama.

Sahabatku,

Dalam kita melangkah pergi, terkadang kita diuji dengan seribu keperitan, terasa berat oleh kita untuk melangkah apatah lagi untuk berlari. Justeru, itu semua hanyalah sementara, kerana selepas malam akan bergantinya siang nan indah. Biarpun pelangi tidak akan selama-lamanya muncul tatkala malam menjelma. Namun begitu, tatkala mentari terbit berkemungkinan di situ akan muncul pelangi indah biarpun pelangi itu bukanlah suatu yang mudah untuk kelihatan hanya tatkala bumi ditimpa hujan.




Sahabatku yang aku kenali,
  • Ayat-ayat ini aku tuliskan untukmu sebagai ingatan kita bersama.
  • Ayat-ayat yang penuh dengan peringatan dan hikmah.
  • Ayat-ayat yang diturunan oleh-Nya kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W untuk disampaikan.

ذَلِكَ نَتْلُوهُ عَلَيْكَ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ
Maksudnya: "Demikianlah Kami bacakan kepadamu (Muhammad) sebagai ayat-ayat dan peringatan yang penuh hikmah." [Surah Ali Imran ayat 58].


Sahabatku yang aku kasihi,
  • Tiada motivasi yang sesungguhnya aku temui melainkan kekuatan daripada ayat-ayat ini.
  • Ayat-ayat yang inginku kongsikan bersamamu agar dikau menjadi seorang yang tabah.

مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ وَمَن يُؤْمِن بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Maksudnya: "Tidak ada sesuatu musibah yang menimpa (seseorang), kecuali dengan izin Allah; Dan barang siapa beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." [Surah At-Taghaabun ayat 11].


الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
Maksudnya: "(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." [Surah Al-Baqarah ayat 156].


Sahabatku yang aku rindui,
  • Ketahuilah hakikat bahawa segalanya itu adalah ujian bagimu untuk menguji keimananmu.

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ
Maksudnya: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" [Surah Al-Ankabut ayat 2].


Sahabatku,
  • Sesungguhnya ujian itu sebenarnya dan selayaknya buatmu, hanya dikau yang mampu untuk menempuhinya, walaupun terasa berat olehmu untuk menghadapinya.

لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْساً إِلاَّ وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْراً كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنتَ مَوْلاَنَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir." [Surah Al-Baqarah ayat 286].


لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْساً إِلَّا مَا آتَاهَا سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْراً
Maksudnya: "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan." [Surah Ath-Thalaaq ayat 7]. 


Sahabatku yang aku kasihi,
  • Apalah ertinya jikalau engkau sentiasa bersedih dengan apa yang berlaku terhadapmu.
  • Bangunlah dikau dan terus berlari dan jangan biarkan dirimu terus lumpuh tak berdaya.
  • Engkau adalah orang yang terkuat dan gagah yang aku temui di dalam pengembaraan ini.

وَلاَ تَهِنُوا وَلاَ تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Maksudnya: "Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman." [Surah Ali Imran ayat 139].


Sahabatku,
  • Jikalau engkau berasa engkau sedang bersendirian, ketahuilah bahawa engkau sebenarnya tidak bersendirian.
  • Masih ada yang sentiasa mendengar keluhan kisahmu.
  • Janganlah dikau takut dan bersedih hati, kerana DIA sentiasa bersamamu.

وَاسْتَعِينُواْ بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلاَّ عَلَى الْخَاشِعِينَ
Maksudnya: "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." [Surah Al-Baqarah ayat 45].

Ayat-ayat ini yang selama ini menjadikan aku seorang yang kuat dalam melangkah, biarpun seringkali jua aku tersungkur. Ingin ku sampaikan untuk dirimu agar mampu bersama-sama untuk melangkah pergi. Terlalu banyak ayat-ayat yang memberi semangat, namun hanya sekadar ini sahaja yang mampu aku sampaikan sebagai tanda ingatanku untukmu.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

HAIRULIQWAN

Copyright © 2012 Ketawa Sedih Bergembira Bersama | IqwanLegion | Designed by Hairul Iqwan